Hebatnya Tan Sri Syed Mokhtar

Hebatnya Tan Sri Syed Mokhtar

Saya pun suka kepada kemewahan. Saya pun suka pergi tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tetapi kita ini hendak mewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana? Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

 

Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu jika ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

 

Gaya hidup ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana. Saya juga tidak bermain golf kerana kepada saya ia memakan banyak masa. Tetapi tidak semestinya orang yang main golf itu tidak bagus atau orang yang tidak mainnya lebih bagus. Saya pun tak ada minat untuk membeli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu benda yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau orang ramai mendapat nikmatnya.

 

Tetapi orang Melayu umumnya apabila berniaga perkara pertama yang dilakukan adalah beli kereta mewah. Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Jangan kita memberi gambaran bahawa ini sebenarnya yang perlu mereka buat. Sesiapa pun memang mahu semua itu tapi bukan itu matlamatnya.

Sharing is caring!

Zulhusni Salha

Konsultan Kewangan l Penulis

Comments are closed.
shares