Miliki Hartanah di Usia Muda

Miliki Hartanah di Usia Muda

Seorang anak muda yang berusia 23 tahun iaitu Siti Nursyafieqah Abu Bakar atau dikenali sebagai Syafieqah Alya di alam maya, telah melakukan perkara yang luar biasa. Dengan berasaskan gaji hanya RM1,600 sebulan, si gadis muda ini sudah mempunyai asset hartanah yang mengkagumkan seluruh rakyat Malaysia.

Di sebalik kejayaan gadis ini, siapa sangka bahawa kehidupan yang dilalui adalah berbeza dengan anak-anak muda yang seusia dengannya. Dia terpaksa menyekat segala kemahuan demi mancapai impian kewangan untuk masa hadapan.

“Saya pernah mengikat perut demi memenuhi tabung simpanan malah tiada masa untuk bersosial dengan kawan. Sehinggakan saya pernah dikatakan ‘gila’. Selama bertahun saya tetap dengan cara sendiri dalam pengurusan kewangan saya yang saya amalkan sejak zaman diploma sehingga hari ini,” katanya.

Segala kejayaan yang diperolehi adalah kerana usaha dan kerja keras menggunakan tenaga muda untuk melakukan dua pekerjaan setiap hari demi memenuhi misi kewangan yang dirancang demi masa hadapan. Dia yang menerima tawaran bekerja sebagai Eksekutif Jualan di salah sebuah institusi perbankan ternama di negara ini dengan kadar gaji hanya RM1,600 sebulan, telah melakukan pekerjaan separuh masa di sebuah pasar raya sebagai pekerjaan kedua bagi meningkatkan pendapatan kewangannya.

Gaji RM1,600 yang diperolehi daripada pekerjaannya di bank akan dibelanjakan untuk bayaran sewa rumah, pengangkutan, perbelanjaan makan dan minum serta duit kepada ibu bapa. Manakala gaji yang diperolehi daripada pekerjaan separuh masa di pasar raya akan dibahagikan kepada dua iaitu untuk simpanan kecemasan dan juga pelaburan.

Bagi Syafieqah, masa 24 jam sehari itu tidak akan dibazirkan dengan melakukan perkara yang sia-sia seperti berseronok bersama kawan-kawan, tetapi masa itu akan dipenuhi dengan aktiviti bermanfaat untuk mencari pendapatan tambahan. Malahan, kadang-kadang dia tiada masa untuk pulang ke kampung kerana sentiasa sibuk dengan pekerjaaan untuk mengumpul wang simpanan agar dapat mengecapi misi kewangannya.

Dengan sikapnya berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah itu menjadi panduan kejayaan yang dia perolehi selama ini.

Katanya, “Biarlah apa jua kata orang, yang penting kita pandang ke hadapan. Alhamdulillah saya dapat merealisasikan impian untuk memiliki rumah impian ketika umur 23 tahun.

“Saya akui tidak mempunyai masa untuk berlibur kerana melihat kepentingan misi hidup yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

“Mungkin ramai mengatakan saya seorang anti sosial atau ‘kera sumbang’, namun kata-kata menjadi pembakar semangat untuk berjaya,” katanya.

Tiga tahun berlalu, Syafieqah Alya kini memiliki tiga hartanah bernilai lebih sejuta ringgit dan merancang untuk meneruskan pembelian hartanah pada masa akan datang.

 

Tips Inspirasi Bina Kewangan

  1. Rancang kewangan di usia muda. Tetapkan jumlah kewangan yang mahu diperolehi bagi tempoh 3-5 tahun akan datang.
  2. Mulakan menyimpan sekurang-kurangnya satu per sepuluh(10%) daripada pendapatan yang diperolehi.
  3. Sediakan simpanan sekurang-kurang 3 bulan. Lebihan daripada simpanan itu laburkan di pelaburan yang selamat.
  4. Dapatkan nasihat daripada mereka yang pakar. Laburkan masa dan wang bagi mendapatkan ilmu kewangan.
  5. Jaga hubungan dengan ibu bapa. Salurkan sebahagian pendapatan kepada ibi bapa.
  6. Gunakan masa di usia muda untuk bina pendapatan. Jangan bazirkan masa untuk perkara yang tidak memberi manfaat untuk masa hadapan.

 

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/siti-nursyafieqah-miliki-tiga-hartanah-di-usia-muda-1.634983

Sharing is caring!

Zulhusni Salha

Konsultan Kewangan l Penulis

Comments are closed.
shares