Amalan di Waktu Pagi Membuatkan Hidup Lebih Berkah

Amalan di Waktu Pagi Membuatkan Hidup Lebih Berkah

TIDUR pada waktu pagi memang sangat mengasyikkan, terutamanya pada mereka yang terpaksa bekerja lewat di waktu malam. Apabila tibanya waktu Subuh, kepala terasa berat dan hati pula seperti mendesak supaya badan segera rebah secepat mungkin dan mata pula terus dipejamkan.

 

Mungkin perlu tidur agar keadaan tubuh mendapat rehat yang secukupnya dan bangun apabila telah sampai waktunya. Tetapi, jika terus lena dan hanyut dengan tidurmu, maka betapa ruginya.

 

Sedangkan Rasulullah SAW pada setiap pagi memanjatkan doa untuk umatnya.

“Ya Allah berikanlah berkah kepada umatku di pagi hari mereka.” (HR Tirmidzi).

 

Maksudnya, waktu pagi bukanlah waktu untuk berlengah-lengah, apatah lagi untuk terus mendengkur. Oleh sebab itu, mesti ada niat dan ikhtiar yang kuat dalam diri agar kita tidak termasuk dalam golongan umat Islam yang kehilangan berkah pada awal permulaan pagi hari.

 

Pertama, berzikir

Zikir pagi adalah amalan yang amat digalakkan kerana akan membuatkan diri lebih bertenaga dan bersemangat di pagi hari. Di samping itu, amalan ini juga membuatkan segala urusan kita dipermudahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Amalan ini boleh dibaca saat masuk Subuh hingga terbit matahari.

 

Kedua, membaca Al-Qur’an

Membaca Al-Qur’an dengan penuh penghayatan, renungan dan keikhlasan hati serta mengikuti dan mengamalkan isinya, hal ini akan membantu meningkatkan fokus pada otak dan hati untuk lebih cepat menyelesaikan segala urusan di waktu pagi.

Bahkan, para penghafal Qur’an, memanfaatkan waktu emas ini sebagai momentum untuk muroja’ah (mengulang-ulang hafalannya). Sebagai permulaan, kita boleh memulakan membaca sebaris atau dua baris setiap pagi. Lakukan secara konsisten dan tingkatkan bilangan baris dari semasa ke semasa sehingga ia menjadi kebiasaan rutin pagi kita.

 

Ketiga, mulakan aktiviti

Jadi, tidak salah jika bangsa Arab mengenali petua, “Waktu adalah pedang.” Kemudian dalam bahasa kita dikenali, “Siapa cepat dia dapat.” Dengan kata lain, siapa yang bergegas dalam melakukan aktiviti dan berusaha bersungguh-sungguh, insya Allah dia akan berhasil. “Man jadda wajada” (Siapa bersungguh-sungguh dia dapat).

Oleh itu, selesai solat dan membaca al-Quran, jangan rebahkan badan. Tapi bangun dan bergeraklah melakukan aktiviti.

 

Keempat, segerakan mandi

Melakukan kebaikan dalam Islam hukumnya harus disegerakan, demikian juga halnya dengan mandi di pagi. Mandi di waktu pagi akan memberikan kesegaran pada diri. Kemudian, dalam kajian perubatan, mandi di waktu pagi dapat melancarkan perjalanan darah, peningkatan pengeluaran sel darah putih, mengurangkan risiko darah tinggi, serta meningkatkan kesuburan.

 

Kelima, Solat Dhuha

Solat Dhuha adalah sunnah mu’akkadah, terbukti telah dilakukan oleh Nabi SAW, seperti yang disampaikan oleh Muslim, dari hadis Aisyah radhiallahu anha, dia berkata;

“Rasulullah SAW solat Dhuha sebanyak empat (rakaat), kadang-kadang dia menambah menurut keinginannya.”

Ini adalah amalan untuk kita menjemput rezeki. Kebanyakkan orang yang mengamalkan solat dhuha ini dimurahkan rezeki pada hari itu.

 

Sharing is caring!

Zulhusni Salha

Konsultan Kewangan l Penulis

Comments are closed.
shares